fbpx

Panduan Asas SEO Dalam WordPress(MESTI BACA)

SEO adalah Search Engine Optimization atau dalam bahasa melayunya bermaksud Pengoptimasi Enjin Carian. Ada sesiapa boleh bagi terjemahan tepat bahasa melayu pasal SEO? silakan komen di bawah. Secara mudahnya cara macamana kita nak pastikan laman web kita mesra dengan enjin carian seperti Google, Bing atau lain-lain.

Dibawah ini akan dikongsikan 10 tip menjadikan artikel anda mesra SEO.

1. Fikirkan tajuk dan kandungan artikel sebelum mula menulis

Ini adalah perkara yang paling asas sekali, kalau anda tiada hala tuju. Artikel anda pasti akan mengarut. Cari bahan atau maklumat secukupnya sebelum mula menaip. Seperti saya sendiri, saya akan cari maklumat dahulu dalam beberapa sumber sebelum membuat penulisan di sini. Gunakan tajuk yang menarik. Kebiasaannya tajuk berbentuk “Bagaimana” dan “Cara” amat popular bagi artikel berbentuk tutorial seperti ini.

2. Rangka susunan artikel anda

Masih ingat zaman persekolahan anda? Zaman UPSR, PMR (atau SRP atau PT3 sekarang) dan SPM? Di setiap peperiksaan kita dilatih untuk membuat karangan. Sekarang ini, jangan bazirkan tempoh pembelajaran anda di sekolah. Gunakan segala ilmu tersebut. Asas karangan mesti ada pendahuluan, tiga isi dan penutup. Gunakan asas ini dalam penulisan artikel anda dalam wordpress.

Sebelum menulis, rangka tajuk (topik besar), pendahuluan, isi (topik kecil) dan penutup (rumusan). Rangka di atas kertas, TULIS. Ini amat membantu anda dalam menyiapkan artikel. Kecuali anda ada ingatan yang kuat, tak perlu tulis rangka ini dalam kertas, rangka sahaja dalam ingatan.

3. Gunakan perenggan yang betul

Untuk menjadikan penulisan artikel anda menarik dan mudah dibaca. Gunakan perenggan yang betul. Gunakan perenggan hanya untuk membezakan isi atau kandungan yang berbeza. Bukannya ayat belum habis (penerangan belum selesai) dah nak masuk perenggan baru.

Gunakan satu perenggan untuk satu penerangan. Jika tajuk kecil memerlukan beberapa penerangan, maka gunakan perenggan untuk mengelakkan penerangan anda bercampur aduk.

4. Gunakan kepala tajuk besar dan kecil

Pastikan setiap artikel anda ada Kepala Tajuk Besar (H1) dan Kepala Tajuk Kecil (H2, H3, dan seterusnya). Setiap artikel wajib ada satu Kepala Tajuk Besar (H1) dan tiga Kepala Tajuk Kecil (H2 ke bawah). Ini bagi memberitahu enjin carian tentang apakah artikel anda bebelkan. Kepala tajuk adalah benda pertama Google akan cari untuk SEO. Dalam artikel ini saya gunakan H1 dan H4.

5. Gunakan ayat petunjuk

Ayat petunjuk adalah amat penting bagi pembaca anda. Dalam artikel ini saya tidak gunakan ayat petunjuk kerana saya sudah menggunakan sistem penomboran untuk membezakan isi kandungan saya. Contoh ayat petunjuk yang biasa digunakan adalah, “pertama sekali”, “seterusnya”, “selain itu”, “akhirnya” dan banyak lagi. Ini akan memudahkan pembaca anda membezakan isi-isi yang ingin anda sampaikan.

6. Pastikan panjang artikel anda cukup

Untuk memastikan artikel anda mesra SEO. Pastikan artikel anda mempunyai sekurang-kurangnya 300 patah perkataan. Dan tidak lebih daripada 700 patah perkataan. Jumlah perkataan terbaik adalah 500 patah perkataan. Google tak suka artikel kurang dari 300 patah perkataan, manakala pembaca anda tidak suka jika artikel anda terlampau panjang. Pastikan artikel anda menggunakan jumlah perkataan seperti dinyatakan di atas.

7. Pautkan artikel terdahulu

Jika anda sudah mempunyai artikel sebelumnya yang berkaitan, masukkan pautan tersebut. Ini boleh menaikkan kedudukan anda dalam Google kerana ada pautan. Contohnya, jika anda belum membaca artikel saya sebelum ini Cara guna emel sendiri dalam Gmail. Bolehlah baca di pautan yang saya bagi ini.

8. Semak dahulu artikel anda

Sebelum menerbitkan artikel anda, semak dahulu artikel anda. Untuk semak dari segi kesalahan perkataan atau lain-lain. Cara paling mudah nak semak, suruh kawan anda baca. Pasti selamat.

9. Terbitkan artikel secara berkala

Untuk memastikan Google atau Bing sentiasa merayap di laman web/blog anda. Rajin-rajin lah buat artikel baru sentiasa. Kalau boleh satu artikel sehari. Namun jika malas, pastikan setiap minggu ada artikel baru. Baru cepat blog anda naik di enjin carian.

10. Gunakan pemalam untuk membantu anda menyemak SEO

Banyak pemalam yang disediakan untuk SEO wordpress. Pemalam yang popular bagi SEO adalah Yoast SEO ataupun Smartcrawl dari WPMUDEV. Ini membantu memudahkan anda jika anda tidak tahu apa-apa. Namun jika anda sudah pakar, pemalam ini tidak berguna untuk anda.

Penutup

Berikut adalah antara tip-tip penting bagi pemula SEO. Saya tidak pakar bahagian SEO. Jadi kalau ada salah dan silap, sila perbetulkan. Diharap abam-abam pakar SEO sudi menulis dalam WPMALAYA ini. Kerana setiap orang ilmunya berbeza, alangkah bagusnya jika kita semua dapat berkongsi ilmu kita menggunakan platform ini. Jangan lupa komen di bawah jika ada tip menarik yang tidak tersenarai.


Translate »